Tuesday, February 2, 2010

Family : Tips Didik Anak 2

Tips 28
Pastikan anak-anak khatam al-Quran sebelum mencapai umur 10 tahun dan menghafal surah-surah lazim.

Tips 29
Amalkan membaca sepotong hadis sekurang-kurangnya sekali seminggu selepas solat berjamaah bersama keluarga (cth maghrib setiap sabtu). Boleh juga diberikan tugas kepada anak yang telah pandai membaca untuk mengetuai bacaaan terjemahan hadis kemudian bapa memainkan peranan menghuraikan hadis tersebut untuk diambil pengajaran daripadanya.


Tips 30
Luangkan masa untuk menghadiri majlis-majlis rasmi anjuran pihak-pihak berkenaan yang melibatkan anak-anak seperti mesyurat PIBG, majlis solat hajat sekolah, perasmian kem motivasi dan sebagainya.

Tips 31
Bawa anak-anak bercuti setahun sekali terutama ke tempat-tempat yang boleh memberikan nilai tambah ilmu seperti tempat bersejarah yang dapat diterangkan kepada mereka kebesaran dan keagungan ciptaan Allah.

Tips 32
Mainkan alunan zikir-zikir atau ayat-ayat al-Quran dalam kereta sekiranya membawa anak bersama. Setidak-tidaknya memilih siaran radio yang mementingkan info dan input kerohanian seperti memainkan lagu-lagu nasyid dan tazkirah.

Tips 33
Luangkan masa untuk menikmati makanan bersama anak-anak sekali sehari (makan malam) atau paling kurang seminggu tiga kali bagi mereka yang selalu traveling atau terlalu sibuk dengan kerja. Minta anak-anak (secara bergilir-gilir) mengetuai bacaan doa makan.

Tips 34
Ajar anak-anak untuk sama-sama menyambut dan meraikan tetamu. Elok diadakan sesi taaruf (pengenalan diri) ringkas untuk memperkenalkan tetamu kepada anak. Jangan sesekali membiarkan anak merasakan diri mereka tidak penting dalam keluarga dengan berkurung di dalam bilik atau melakukan aktiviti sendirian.

Tips 35
Minta anak-anak untuk memilih, membalut, membuat dekorasi hadiah yang ingin diberikan kepada relatif, sahabat atau siapa sahaja yang akan dikunjungi.

Tips 36
Luangkan masa untuk anak berkongsi sesuatu dapatan, kemahiran atau ilmu baru sama ada dari sekolah, buku yang dibaca atau dari mana-mana sumber yang lain. Contohnya meminta anak melakukan simulasi guru mengajar, atau kerja kumpulan bagi menunjukkan cara mereka mendapatkan ilmu tersebut. Berikan galakan dan penghargaan.

Tips 37
Ingatkan anak-anak sekurang-kurangnya sekali sehari, untuk melakukan ibadah khusus (walaupun mereka telah melakukannya, peringatan perlu dibudayakan) seperti solat, zikir atau melakukan taat kepada Allah yang lain seperti menutup aurat, mentaati ibubapa, guru, alim ulama dan orang-orang tua.

Tips 38
Alunkan bersama anak (selepas solat berjemaah) zikir-zikir tertentu seperti zikir munajat atau wirid selepas solat dan lain-lain. Anak-anak akan membesar dalam budaya yang sangat positif iman ini, insyaAllah.

Tips 39
Sediakan hiburan yang mendidik anak ketika membawa mereka bersama dalam kereta. Contohnya memainkan zikir, doa, lagu nasyid atau hiburan yang bersifat motivasi dan pendidikan.

Tips 40
Sekiranya anda ingin memberi hadiah kepada kumpulan kanak-kanak yang ramai, contoh pada hari-hari perayaan, jadikan anak anda sebagai penerima hadiah yang pertama.

Tips 41
Langgan satu majalah khusus bagi anak anda yang akan diterimanya secara berkala melalui perkhidmatan pos.

Tips 42
Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak satu budaya dan gantikannya dengan budaya yang baru sekiranya ia telah menjadi sebati dalam jiwa. Contoh budaya memberi salam. Setelah budaya tersebut sebati dalam jiwa anak, tambahkan dengan satu budaya baru, contohnya mengucapkan terima kasih, seterusnya budaya membaca dan pelbagai nilai tambah diri yang lain.

Tips 43
Berikan anak-anak tanggungjawab yang mampu dipikul olehnya mengikut kesesuaian peringkat umur.

Tips 44
Tanam dalam jiwa anak-anak betapa pentingnya kebersihan. Amanahkan satu-satu kawasan dalam rumah bagi setiap anak memantau kebersihannya.

Tips 45
Cabar minda anak-anak dengan perkara-perkara yang dapat membangkitkan daya kreativiti mereka. Contoh selalu berteka teki dan sama-sama mencari jawapan, atau mengubah sesuatu yang telah terpakai menjadi satu ciptaan baru dan sebagainya.


Sumber : IbnRajab Online

No comments:

Post a Comment