Tuesday, February 2, 2010

Family : Tips Didik Anak 1

Tips 1
Cari peluang untuk beritahu anak-anak supaya takut kepada Allah sekurang-kurangnya sekali sehari.

Tips 2
Tunjukkan kasih sayang kepada anak sekurang-kurangnya sekali sehari dengan niat yang ikhlas di dalam hati, sama ada melalui perbuatan atau terus berkata bahawa anda sayang kepada mereka.

Tips 3
Fahami kehendak dan perasaan anak dengan serius. Jangan sesekali tidak ambil indah dengan apa yang diluahkan oleh mereka.

Tips 4
Katakan “takpe” apabila anak tidak sengaja melakukan kesilapan. Sebaliknya anda perlu lebih berhati-hati agar tidak tersilap terutama di hadapan mereka.

Tips 5
Wujudkan sebuah buku penghargaan kepada anak. Catat setiap perkara baik pertama yang mereka lakukan. Seperti tarikh mula berkata “a”, meniarap, merangkak, berjalan, bersekolah, dapat no.1 dan sebagainya.

Tips 6
Senyum atau ketawa sederhana ketika anak buat ‘joke’ walaupun pada anda ia bukannya lawak mana.

Tips 7
Puji setiap percubaan baik yang dilakukan oleh anak tanpa menghiraukan keputusannya.

Tips 8
Ambil gambar hari pertama setiap permulaan sesi persekolahan anak kemudian abadikan kenangan tersebut dalam album berasingan.

Tips 9
Sentiasa cabar pengetahuan dan minda anak, hiburkan suasana itu dengan sama-sama mencari jawapan kepada cabaran tersebut.

Tips 10
Ingatkan anak agar selawat ke atas Rasulullah SAW sekurang-kurangnya setiap kali bangun dan ingin tidur.

Tips 11
Apabila anak tiada mood kerana kecewa tidak dapat berbuat sesuatu sebagaimana yang diharapkan, beritahu anak bahawa ‘tidak boleh’ atau ‘tidak dapat’ atau ‘tidak mampu’ itu bukanlah untuk selama-lamanya. Dengan latihan secara istiqamah (berterusan) dan bersungguh-sungguh, kemahiran baru akan diperolehi seterusnya merubah keadaan menjadi ‘boleh’ atau ‘dapat’ atau ‘mampu’ buat.

Tips 12
Elakkan berkata kepada anak “kan (ayah/ibu) dah bagitau! ianya…” sebaliknya katakan “kan (nama anak) dah tahu ianya….”

Tips 13
Katakan terima kasih secara sedar dari dalam hati atas ucapan baik atau penghargaan yang anak berikan kepada anda.

Tips 14
Jangan paksa anak meminati apa yang anda suka, sebaliknya bantu mereka kenali kelebihan pada diri di samping memberi galakan dan bantuan ke arah memperkayakan minat mereka itu. Setiap orang memiliki kelebihannya yang tersendiri.

Tips 15
Nyatakan secara terus terang setiap kali anda tidak suka terhadap tindakan anak. Memilih untuk diam sebagai langkah pencegahan bukan sahaja menjadikan anak untuk konfius sebaliknya mengajar mereka mengambil sikap sama apabila berselisih pendapat dengan anda.

Tips 16
Jangan biarkan anak tertidur dalam kemarahan, atau tidur dengan fikiran bahawa anda sedang marah kepadanya.

Tips 17
Jelaskan kepada anak bahawa setiap orang memang mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza. Hormatilah pandagan anak dan berilah teguran dengan hikmah sehingga pendapat mereka itu berada di jalan yang betul.

Tips 18
Jangan buka rahsia, kelemahan, kesilapan, sejarah hitam ataupun aib anak kepada orang lain walaupun adik beradiknya sendiri.

Tips 19

Bawa anak lelaki untuk sama-sama solat berjamaah di masjid atau surau. Luangkan masa untuk membawa seisi keluarga seminggu sekali solat jamaah di masjid atau sekurang-kurangnya pada hari-hari istimewa dalam kehidupan yang ada kaitan dengan anak.

Tips 20
Selalu ucapkan pesanan baik kepada anak di saat-saat perpisahan kemudian iringi dengan ucapan doa selamat seperti “Maassalamah, selamat tinggal atau lain-lain doa”.


Tips 21
Biarkan anak-anak terutama yang masih kecil itu menangis sekiranya mereka perlu. Mudah-mudahan ia tidak akan menjadikan ibu bapa menangis apabila mereka telah besar.

Tips 22
Wujudkan sebuah tin “saya boleh” untuk setiap anak. Biarkan anak menghias sendiri tin mereka mengikut citarasa. Setiap kali anak dapat menguasai sesuatu yang baru, anda buat sedikit catatan untuk dimasukkan ke dalam tin “saya boleh” berkenaan. Dari masa ke masa, ajak anak melihat pencapaian-pencapaian terbaik yang pernah diraihkannya.

Tips 23
Bantu anak menggambarkan (melalui lukisan, lakaran dll) tentang perasaan yang baru mereka kenali atau rasai. Bincang dengan anak apa yang membuatkan mereka berperasaan sebegitu.

Tips 24
Cuba untuk tidak sesekali membawa balik kerja anda ke rumah atau ke hadapan anak-anak. Lukiskan dalam minda satu garis pemisah di antara kehidupan pejabat (kerja) dan rumah (keluarga) anda.

Tips 25
Letakan gambar anak-anak di tempat-tempat istimewa seperti atas meja dalam bilik tidur, di ruangan tangga atau dalam wallet duit. Sekiranya anak terlihat, beritahu mereka betapa pentingnya mereka dalam hidup anda.

Tips 26
Biarkan anak melakukan sesuatu yang mereka rasa boleh membantu anda seperti menolong anda membuka pintu rumah, suiz lampu atau sehingga menekan butang lif (di tempat awam).

Tips 27
Apabila anda menyiapkan peralatan anak untuk berkelah, menyertai kem, balik ke asrama atau lain-lain, ingatlah untuk menulis sesuatu nota istimewa untuk dimasukkan bersama peralatan tersebut.

Sumber : IbnRajab Online

No comments:

Post a Comment